Thursday, February 18, 2010

PANTUN

Sekapur Sireh
Pantun merupakan puisi berangkap tradisional yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam apa-apa jua majlis. Penggunaan pantun dalam sesuatu majlis dapat mengukuhkan penyampaian hasrat dan buah fikiran seseorang pengacara majlis. Bahasanya yang indah, lembut dan tersusun mampu menyentuh dan mencuit perasaan hadirin. Penggunaan pantun dalam teks pengacara majlis pastinya menimbulkan pelbagai perasaan dalam kalangan hadirin mengikut atur cara sesuatu majlis. Jadi, penggunaan pantun dalam teks pengacara majlis sudah tentu dapat menarik perhatian dan tumpuan hadirin agar terus bersama-sama menjayakan majlis tersebut dengan jayanya.

Oleh sebab pantun begitu berkuasa dalam mengindah dan membangkitkan perasaan hadirin, maka dalam pasaran sekarang terdapat banyak buku pantun. Namun, buku pantun yang diterbitkan acapkali menjurus kepada jenis majlis. Hal ini banyak menyebabkan orang bertanya kepada saya tentang pantun yang sesuai untuk apa-apa jua jenis majlis dan tidak terhad kepada majlis-majlis tertentu. Persoalan yang dilontarkan kepada saya ini menerbitkan idea kepada saya untuk menulis buku aneka contoh pantun pilihan mengikut atur cara majlis.


Konsep buku ini sebenarnya bukan sahaja memudahkan pengacara majlis tetapi juga memudahkan sesiapa sahaja yang berminat dalam penulisan teks pengacara majlis atau baru berjinak-jinak untuk menjadi pengacara majlis untuk memasukkan contoh pantun pilihan sedia ada atau mengolah pantun yang diberikan mengikut kesesuaian majlis dan acara yang dikendalikan. Jadi, buku ini ditulis untuk memberi anda sedikit panduan dan idea tentang pantun yang sesuai mengikut atur cara.


Terdapat enam bahagian dalam buku ini, iaitu:

Bahagian I – Asal Usul Pantun
Bahagian II – Fungsi Pantun
Bahagian III – Teknik Penciptaan Pantun
Bahagian IV – Senarai Kata Berima (Pembayang)
Bahagian V – Aneka Contoh Pantun Pilihan Mengikut Atur Cara Majlis
Bahagian VI – Pantun Untuk Atur Cara-atur Cara Lain

Bahagian I menyatakan maksud dan asal usul pantun Melayu secara ringkas.

Bahagian II menyentuh fungsi pantun. Bahagian ini dipecahkan kepada dua, iaitu fungsi pantun dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu dan fungsi pantun dalam teks pengacara majlis.


Dalam bahagian III pula, diberikan panduan untuk mencipta pantun mengikut langkah demi langkah. Dalam bahagian ini juga diberikan penjelasan tentang ciri-ciri pantun empat kerat untuk memudahkan pembaca mencipta pantun.

Dalam bahagian IV, diberikan senarai kata berima yang dapat digunakan dalam mencipta pembayang pantun.


Dalam bahagian V, dimuatkan aneka contoh pantun pilihan mengikut atur cara majlis yang boleh diubah suai mengikut selera pengacara majlis. Buku ini menyajikan 11 jenis pantun mengikut atur cara majlis yang kerap diadakan dalam sesuatu majlis rasmi, iaitu:


Pantun Memulakan Majlis
Pantun Bacaan Doa
Pantun Mempersilakan Tamu Memberikan Ucapan
Pantun Ucapan Terima Kasih
Pantun Persembahan/ Selingan
Pantun Mempersilakan Tetamu Menjamu Selera
Pantun Sebelum dan Selepas Penyampaian Hadiah/Cabutan Bertuah/Cenderamata
Pantun Meredakan Debaran
Pantun Sebelum dan Selepas Gimik
Pantun Memohon Maaf
Pantun Penutup Majlis

Akhir sekali, bahagian VI mempersembahkan pantun untuk atur cara-atur cara lain yang mungkin tidak disentuh secara spesifik dalam bahagian V.


Diharapkan buku ini dapat mencetuskan idea dan membantu para pengacara majlis atau bakal pengacara majlis untuk mengindahkan teks pengacaraan agar majlis rasmi yang dikendalikan tidak terlalu dilihat seperti majlis pengumuman semata-mata.

Kandungan

SEKAPUR SIRIH

1.0 Asal Usul Pantun

2.0 Fungsi Pantun
2.1 Fungsi Pantun Dalam Masyarakat Melayu
2.2 Fungsi Pantun Dalam Teks Pengacara Majlis

3.0 Teknik Penciptaan Pantun
3.1 Ciri Pantun
3.2 Teknik Mencipta Pantun

4.0 Senarai Kata Berima (Pembayang)

5.0 Aneka Contoh Pantun Pilihan Mengikut Atur Cara Majlis

5.1 Pantun Memulakan Majlis
5.1.1 Untuk Menarik Perhatian
5.1.2 Alu-aluan Selamat Datang
Hadirin
Tamu Kehormat

5.2 Pantun Bacaan Doa
5.2.1 Majlis Rasmi/Tidak Rasmi
5.2.2 Majlis Perkahwinan

5.3 Pantun Mempersilakan Tamu Memberikan Ucapan
5.3.1 Ucapan Alu-aluan
5.3.2 Ucapan Perasmian

5.4 Pantun Ucapan Terima Kasih
5.4.1 Kesudian Bersama
5.4.2 Selepas Memberikan Ucapan/Amanat/ Perasmian
5.4.3 Selepas Memberikan Sumbangan

5.5 Pantun Persembahan/ Selingan
5.5.1 Nyanyian/Koir
5.5.2 Tarian
5.5.3 Multimedia
5.5.4 Pelbagai Persembahan

5.6 Pantun Mempersilakan Tetamu Menjamu Selera
5.6.1 Jamuan
5.6.2 Makan Beradab

5.7 Pantun Acara Sebelum dan Selepas Penyampaian Hadiah/Cabutan Bertuah/Cenderamata
5.7.1 Hadiah Pertandingan
5.7.2 Cabutan Bertuah
5.7.3 Cenderamata

5.8 Pantun Meredakan Debaran
5.8.1 Pertandingan
5.8.2 Cabutan Bertuah

5.9 Pantun Sebelum dan Selepas Gimik
5.9.1 Sebelum Gimik
5.9.2 Selepas Gimik

5.10 Pantun Memohon Maaf
5.10.1 Keterlanjuran Berbicara/Kelakuan
5.10.2 Cacat Cela Majlis
5.10.3 Mengusik

5.11 Pantun Penutup Majlis

6.0 Pantun Untuk Atur Cara-atur Cara Lain

6.1 Mohon Restu
6.2 Selepas Perkongsian Ilmu
6.3 Perarakan Masuk
6.4 Bacaan Ikrar
6.5 Berbentuk Pertandingan
6.6 Merisik dan Meminang
6.7 Pertunangan
6.8 Akad Nikah
6.9 Malam Berinai Besar
6.10 Ketibaan Pengantin
6.11 Membayar Cukai
6.12 Persandingan
6.13 Menepung Tawar
6.14 Berkaitan Dengan Majlis Perpisahan
6.15 Berkaitan Dengan Majlis Berendoi
6.16 Berkaitan Dengan Majlis Ulang Tahun Perkahwinan
6.17 Berkaitan Dengan Majlis Sambutan Merdeka
6.18 Berkaitan Dengan Majlis Sambutan Hari Guru
6.19 Berkaitan Dengan Majlis Rumah Terbuka
6.20 Berkaitan Dengan Hari Membaca
6.21 Berkaitan Dengan Hari Dadah
6.22 Berkaitan Dengan Hari Ibu
6.23 Berkaitan Dengan Hari Keluarga

PENUTUP



*Petikan daripada Bahagian II

Fungsi pantun dalam masyarakat Melayu

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud termasuk kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai. Diingatkan di sini, seseorang yang akan menyampai atau melafazkan pantun juga harus memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun dilafaz menjadi pertimbangan dalam penyampaikan isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian oleh orang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan dengan sindiran dan nasihat. Begitu juga jika melafazkan pantun berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, Pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai beberapa fungsi.

2.1.1 Untuk mendidik


Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;


Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberikan peringatan dan pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.

No comments:

Post a Comment